Thursday, October 8, 2009

PeRikSa KeReTa SeBeLuM MenGguNakaNnYa





WANITA selalu dikaitkan dengan kelemahan mengenali enjin kereta. Mereka selalunya tidak tahu berbuat apa-apa jika kereta menghadapi masalah di tengah jalan.
Disenaraikan beberapa petua untuk golongan itu bagi penjagaan paling minimum kereta yang sedikit sebanyak boleh mengelakkan ‘tersangkut’ dalam kesibukan jalan raya.

Petua berkenaan ialah:
* Setiap pagi sebelum masuk kereta, cuba periksa kenderaan anda. Perhatikan tayar cukup angin. Tiada benda pelik melekat di bahagian tayar atau mana-mana bahagian kereta. Pernah terjadi seorang wanita terus menaiki kereta dan meneruskan perjalanan tanpa membuat pemeriksaan itu dan sebaik tiba di tengah lebuh raya, tayarnya ketiadaan angin kerana paku sepanjang 2.5 inci menusuk tayar di sebelah tepi dan tembus ke bahagian tengah. Jadi wanita itu terpaksa menunggu selama satu setengah jam sebelum mendapat bantuan anggota PLUS.
* Sebelum memulakan perjalanan, hidupkan enjin dan tunggu sehingga enjin panas pada kadar RPM yang normal. Sebelum hidupkan enjin, hidupkan suis dan tunggu apa-apa lampu yang sepatutnya padam. Pastikan juga lampu "engine check" padam. Bila enjin sudah hidup jangan terus jalan. Tekan brek dan lepas, kemudian jalan ke depan sedikit dan tekan brek, jika kereta berhenti, baru boleh jalan. Pernah berlaku kepada seorang pemandu yang terus menghidupkan enjin kereta dan terus jalan. Ketika tiba di simpang, pemandu terbabit menekan brek, tetapi kereta tidak berhenti. Ia hanya berhenti selepas melanggar belakang sebuah Wira Aeroback dan pemandu berkenaan terpaksa membayar RM1,000 untuk menukar bumper dan lampu belakang kereta berkenaan.


* Seminggu sekali kalau boleh, periksa lampu brek ketiga dan semua lampu brek. Pastikan ia berfungsi. Buka bonet enjin, buka penutup bateri dan periksa air bateri. Pastikan ia berada pada aras antara minimum dan maksimum. Buka penutup minyak brek (Botol besar dekat badan di hadapan pemandu dalam bonet enjin), pastikan minyaknya mencukupi. Cari jarum pemeriksa minyak enjin. Untuk Perodua Kancil, ia ada di bahagian depan dekat belt yang bergerak kalau enjin hidup (pemegang warna kuning). Cabut dan lapkan minyak di jarum itu kemudian masukkan kembali jarum itu. Bilang sampai lima dan cabut kembali. Minyak mesti berada pada aras di antara minimum dan maksimum. Kalau bawah daripada minimum, masukkan sedikit minyak enjin sehingga ke paras yang dikatakan tadi. Untuk kereta automatik, cari jarum yang lebih kurang sama bentuknya tetapi berada di sebelah yang bertentangan dengan jarum yang pertama (untuk periksa minyak gear box). Lakukan perkara yang sama seperti yang pertama.
* Sebulan sekali, pergi ke pam minyak dan periksa tekanan tayar. Tekanan yang sesuai ada dicatatkan di bahagian dalam tiang B (tiang antara pintu depan dan belakang) sebelah pemandu. Periksa juga tekanan tayar simpanan. Setiap tiga bulan (kalau setiap hari guna kereta untuk ke tempat kerja, pergi ke kedai tayar dan periksa setiap tayar mengikut aturan yang sesuai. 
* Setiap 5,000 km, pergi ke bengkel, tukar minyak enjin (jika gunakan minyak biasa) dan tukar penapis minyak selepas dua kali menukar minyak enjin. Tukar juga palam pencucuh setiap tiga kali tukar minyak enjin. Kalau kereta model lama yang pakai "Petnam" atau contact point, minta mekanik cuci contact point setiap tiga kali tukar minyak enjin dan tukar setiap sembilan kali tukar minyak enjin.

* Dan yang akhir, setiap minggu pergilah bersihkan dalaman kereta terutama tempat duduk bagi menyedut atau mengeluarkan habuk.

Rujukan: Bengkel Riong, Berita Harian






2 comments:

Cetul^ La La said...

bagos2.. aku mmg buta pasal nak jaga kete ni.. hehe

Hanyss said...

hehe..sama2lah kita belajar menjaganya...